Setiap profesion mempunyai aspek positif dan negatif yang tersendiri dan anda harus mempertimbangkan kedua-duanya sekali apabila membuat keputusan kerana kesesuaian kerja amat penting untuk kemajuan diri dan kerjaya anda.
Artikel ini akan menghuraikan lebih lanjut tentang cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi sekiranya anda ingin menceburi kerjaya sebagai seorang doktor gigi.
- Kos yuran pengajian
Kita sering mendengar keluhan bahawa kos yuran pengajian untuk menjadi seorang doktor gigi adalah tinggi. Anggaran untuk yuran pengajian dalam bidang pergigian berada dalam lingkungan RM60,000. Tetapi, ada juga yang menyatakan pelajar dapat melunaskan bayaran yuran pengajian dengan cepat setelah berjaya mendaftarkan diri sebagai doktor gigi profesional. Jadi, anda tidak perlu khuatir dan jangan biarkan yuran pengajian menjadi satu halangan untuk mencapai impian anda.
- Tekanan
Kerjaya sebagai doktor gigi mempunyai cabarannya yang tersendiri. Contoh, sekiranya anda ingin menjadi pemilik premis klinik pergigian swasta, anda mungkin perlu menghadapi tekanan tambahan dalam menguruskan perniagaan serta jangkaan pesakit/pelanggan anda. Anda juga perlu mengatur masa atau merancang strategi yang bijak untuk terus mengembangkan perniagaan dan pada masa yang sama, memberikan perkhidmatan optimum kepada setiap pesakit. Kadangkala, anda mungkin perlu bekerja berjam-jam untuk melayan aliran pesakit yang tinggi serta menjaga kebajikan pekerja dan pembantu anda. Selain itu, anda juga perlu mengatur langkah untuk memajukan klinik sendiri dengan pelbagai strategi yang unik. Justeru itu, anda perlu mempunyai kekuatan mental dan emosi untuk kekal positif dalam menguruskan stres kerja.
Kenal pasti elemen perniagaan yang tidak memerlukan penglibatan dan kepakaran anda dan dapatkan bantuan daripada rakan sekerja atau staf pengurusan supaya anda dapat memberi tumpuan penuh kepada pesakit dan menjalankan tugas sebaik mungkin!
- Ketahui trend semasa
Dengan jadual yang padat, doktor gigi mungkin tidak ada masa untuk mengikuti perkembangan semasa dalam bidang ini. Namun, profesion pergigian adalah antara bidang kerja yang berkembang pesat dengan bantuan teknologi yang canggih dan inovatif, jadi anda perlu rajin meluangkan masa untuk mengkaji tentang pesaing serta trend-trend terbaru dalam bidang kerja anda. Gunakan platform seperti Google Trends, hashtag Twitter dan libatkan diri dalam kumpulan atau forum di Facebook untuk mengikuti topik, isu dan perkembangan semasa. Melalui kaedah-kaedah seperti ini, perniagaan anda akan terus kekal berada di hadapan bersama pesaing yang lain!
- Tingkatkan/kekalkan motivasi diri dan pasukan
Selain perkembangan kendiri, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat, seorang doktor gigi juga perlu pandai berkomunikasi dan mempunyai semangat kerja berpasukan yang tinggi kerana klinik atau fasiliti pergigian serta pasukan anda boleh dianggap sebagai keluarga kedua. Anda akan banyak meluangkan masa dalam klinik jadi anda bukan hanya perlu mengekalkan motivasi diri tetapi juga rakan sejawat dan staf sokongan. Ini kerana pasukan anda akan seringkali berkomunikasi dengan pesakit dan turut menyumbang kepada pengalaman pesakit. Mereka juga berpotensi untuk memperkembangkan perniagaan anda. Oleh itu, sikap tidak ambil peduli terhadap kesejahteraan pekerja sokongan serta rakan sejawat boleh memberi impak kepada kerjaya anda.
Untuk memastikan warga klinik anda gembira dan produktif, anda perlu sentiasa berkomunikasi dengan ramah dan meminta makum balas pekerja mengenai keperluan semasa untuk terus kekalkan momentum kerja kuat dan berpasukan dalam perniagaan anda.
Sekiranya anda berminat untuk mengejar kerjaya profesional dalam bidang pergigian dan ingin membuka klinik pergigian tersendiri, SEGi University adalah satu pilihan terbaik untuk memulakan langkah anda! Ketahui lebih lanjut tentang program pergigian di SEGi University di www.segi.edu.my atau hubungi 03-6145 1777 atau 1800-88-7344.